NCSS 2026 tingkat daya tahan keselamatan siber negara

Foto Hiasan/RTM

PUTRAJAYA, 1 Julai – Kira-kira 3,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 7 hingga 9 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema NCSS 2026: memperkukuh kedaulatan dan daya tahan keselamatan siber negara.
  • Teknologi keselamatan perlu dibangunkan dan dimiliki rakyat serta digunakan oleh agensi dan industri untuk memastikan kawalan ketika ancaman.
  • Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan melengkapkan kerangka perundangan untuk mendakwa penjenayah siber dan mengurangkan kerugian penipuan dalam talian.
  • Penglibatan komuniti dan kesedaran awam ditekankan agar semua lapisan masyarakat memikul tanggungjawab melindungi diri dan negara.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, persidangan kali kedua itu menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta komuniti dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tahan negara menghadapi ancaman siber.

“Pentingnya kedaulatan ini adalah kita telah mengubah definisi dalam konteks keselamatan dan teknologi. Teknologi yang digunakan untuk tujuan melindungi negara perlu dibangunkan dan dimiliki oleh rakyat kita sendiri, serta diguna pakai oleh agensi kerajaan dan industri.

“Kepentingannya adalah supaya kita tidak terikat apabila berlaku sesuatu ancaman keselamatan siber dan kita mempunyai kawalan terhadap teknologi tersebut,” katanya.

Ir. Dr. Megat Zuhairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, RTM.

Beliau berkata, persidangan bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan dan Daya Tahan Keselamatan Siber Negara” itu turut menjadi platform membincangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang dijangka melengkapkan kerangka perundangan negara bagi menangani ancaman jenayah siber menggunakan teknologi terkini.

Katanya, undang-undang baharu itu penting bagi memastikan pelaku jenayah siber dapat dibawa ke muka pengadilan, sekali gus membantu mengurangkan kerugian akibat penipuan dalam talian yang mencecah hampir RM3 bilion tahun lalu.

“Impak yang paling besar ialah kesedaran keselamatan siber bukanlah isu IT atau teknologi semata-mata, tetapi isu kehidupan kita. Tanggungjawab itu perlu dipikul bersama.

“Apabila sesuatu berlaku, kita perlu melihat bahawa kita mempunyai daya tahan. Kita tidak boleh mengatakan negara 100 peratus selamat, tetapi kita boleh memastikan kita mempunyai daya tahan yang tinggi.

“Untuk mencapai tahap itu, kita perlu memahami undang-undang yang ada, memahami teknologi yang digunakan serta langkah-langkah yang boleh kita lakukan bersama bagi meningkatkan daya tahan tersebut,” katanya lagi.

Selain persidangan dan forum, hari ketiga NCSS 2026 akan memberi fokus kepada penglibatan komuniti menerusi pendekatan melibatkan seluruh negara serta seluruh lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan setiap individu dalam melindungi diri dan negara daripada ancaman siber.

Penganjuran NCSS 2026 turut menampilkan 118 pempamer, termasuk 74 dari Malaysia dan 44 dari luar negara, selain menganjurkan 41 siri wacana yang melibatkan panel tempatan dan antarabangsa.

Penyertaan terbuka kepada orang ramai dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian atau secara terus di PICC sepanjang persidangan berlangsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.