fb fb fb fb fb

Pemandu lori pasir ditahan bantu siasatan

Keadaan lori FRU dan lori yang terbabit kemalangan / BERNAMA

TELUK INTAN, 13 Mei - Pemandu lori pasir yang terlibat dalam nahas membabitkan konvoi Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini telah ditahan untuk membantu siasatan.

Kemalangan ngeri itu mengorbankan sembilan anggota FRU dan mencederakan sembilan yang lain.

Pemandu berusia 45 tahun itu ditahan sejurus kemalangan dan telah menjalani ujian saringan dadah, yang didapati negatif.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga tidak menemukan sebarang bahan terlarang.

Ini meskipun terdapat dakwaan awal mengenai penyalahgunaan ketum.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan kini giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, konvoi Unit 5 FRU yang terlibat dalam nahas sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas selesai tugasan.

Konvoi tersebut terdiri daripada empat lori, satu bas dan dua kenderaan pacuan empat roda, sebelum bertembung dengan lori pasir terbabit sekitar pukul 9.15 pagi.

Lapan anggota disahkan maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa dirawat di zon merah, Hospital Teluk Intan.

Semua mangsa merupakan lelaki berusia dalam lingkungan 40-an, tujuh beragama Islam dan dua bukan Islam.

Dua anggota FRU kini masih dirawat di zon merah manakala tujuh lagi berada di zon kuning.

Proses pengecaman dan pengurusan jenazah sedang dijalankan dengan bantuan pihak PDRM dan waris terdekat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 010-78211326 bagi membantu siasatan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID