KEMAMAN, 24 Oktober – Seorang pemandu lori maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Mak Chili–Ibok, berhampiran persimpangan ke Taman Desa Solehah, Chukai, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.33 pagi itu, mangsa Amirul Faizal Kamaruzzaman, 38, dari Kampung Tempurong, Kemaman, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Mak Chili ke Kampung Ibok.
Siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari Desa Solehah, Mak Chili menuju ke Bukit, dikatakan membuat pusingan U di persimpangan berkenaan sebelum dirempuh motosikal mangsa dari arah kiri jalan.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.