
LABUAN, 2 Mei– Peluasan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan barangan termasuk di Labuan bermula 4 Mei, disambut baik pengguna diesel.
- Kurangkan ketirisan diesel melalui pengawalan khusus.
- Pastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak dan elak bocor kepada pihak tidak berhak.
- Menjamin pengangkutan dan logistik terus beroperasi dengan kos terkawal serta menstabilkan harga barangan.
Penduduk Labuan yang juga penjawat awam, Pain Muzal berkata peluasan SKDS dapat mengurangkan ketirisan barang kawalan tersebut.
“Pelaksanaan peluasan SKDS ini menjadi usaha kerajaan untuk memastikan tidak berlaku ketirisan. Sebelum ini ketirisan berlaku disebabkan tiada tindakan pengawalan yang bersifat khusus,” katanya.
Seorang lagi penduduk Labuan, Zawawi Bakar berpandangan usaha kerajaan itu dapat menjamin hanya golongan benar-benar layak menikmati diesel bersubsidi.
“Ia boleh mengawal penyaluran diesel bersubsidi kepada golongan benar-benar layak. Ini bagi mengelak subsidi bocor kepada pihak yang tidak sepatutnya,” ujar beliau.
“Kerajaan dapat memastikan sektor-sektor penting seperti pengangkutan, logistik barang dan makanan, terus beroperasi dengan kos terkawal sekaligus menstabilkan harga barangan,” menurut seorang lagi penduduk Labuan, Muhammad Zul Ahmad.
Pelaksanaan SKDS diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi sektor pengangkutan barangan dengan permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi, mulai pukul 9 pagi, 4 Mei ini.