Pelarasan harga bahan bakar tanpa subsidi dilaksana secara terkawal, berperingkat

Pelarasan harga bahan bakar tidak bersubisidi dilaksana secara terkawal/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 April – Pelarasan harga bahan akar tidak bersubsidi dilaksanakan secara terkawal dan berperingkat mencerminkan realiti pasaran global, tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pendekatan bersasar itu mampu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan juga mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor bagi memastikan keseimbangan antara tekanan pasaran global dan perlindungan terhadap rakyat.

“Hal ini membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas secara masa nyata serta menyelaras tindakan dengan pantas bagi memastikan kestabilan bekalan dan pasaran kekal terpelihara,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Beliau berkata meskipun harga minyak global meningkat namun kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi (BUDI95) pada RM1.99 seliter.

Selain itu, harga diesel untuk sektor logistik (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM1.88 hingga RM2.15 seliter.

Manakala bantuan tunai RM300 sebulan (BUDI Diesel) turut diberikan kepada individu layak bagi meringankan kos, berkuat kuasa mulai April 2026.

Datuk Seri Fadillah berkata, sektor yang turut bergantung kepada penggunaan bahan api untuk kelangsungan pendapatan seperti nelayan dan agrikomoditi juga menerima bantuan diesel.

Kerajaan juga mengekalkan had BUDI95 sebanyak 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing bagi memastikan kos operasi mereka kekal terkawal dan tidak dipindahkan secara langsung kepada pengguna.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan terus memantau kesan terhadap kos sara hidup rakyat.

Ia termasuk memastikan bekalan makanan asas kekal mencukupi, pemantauan harga dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan tindakan tegas diambil terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah.