
KUALA LUMPUR, 2 April – Sebanyak 3, 523 tangkapan direkodkan menerusi operasi Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
- MATF berjaya membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi penguatkuasaan bersepadu.
- Pemulihan aset dipertingkatkan melalui sitaan, pembekuan dan pelucutan untuk menjejaki serta mengembalikan hasil diseleweng kepada negara.
- SPRM mengetuai MATF dan melaksanakan operasi berimpak tinggi seperti Ops 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter.
- Pendekatan menyeluruh kerajaan kini perlu, disokong kerjasama strategik agensi penguatkuasaan, kewangan dan pendakwaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjelaskan, pencapaian itu mencerminkan keupayaan sebenar negara dalam membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara bersepadu.
“Lebih penting, kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi di bawah MATF,” katanya.
Beliau berucap demikian pada majlis perasmian sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Dalam aspek pemulihan aset, SPRM merekodkan sitaan mencecah RM6.87 bilion bagi tahun 2025 sahaja, selain pembekuan, pelucutan dan sebagainya.
“Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil yang diseleweng akan kita jejaki dan kembalikan kepada negara,” jelasnya.
Tan Sri Azam berkata, sebagai agensi peneraju MATF, SPRM mengetuai pelaksanaan pelbagai operasi berimpak tinggi termasuk Operasi 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter.
Menurut beliau, pendekatan whole-of-government kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan dalam menangani landskap jenayah semasa yang semakin kompleks dan tersusun.
Tambahnya, kerjasama strategik antara pelbagai agensi termasuk pihak penguatkuasaan, kewangan dan pendakwaan membolehkan tindakan lebih menyeluruh dilaksanakan, termasuk menjejaki aliran kewangan dan membongkar keseluruhan ekosistem jenayah.