KUALA LUMPUR, 11 Mei -Tan Sri Azam Baki menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa Ahad ini.
Menerusi kenyataan , Tan Sri Azam berkata beliau akan terus memastikan amanah itu dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.
"SPRM juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini", katanya.
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam dilanjutkan selama setahun pada 2023 .
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa Ahad ini.
Mohd Zuki berkata pelantikan itu dibuat selaras subseksyen dengan 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Sementara itu, pelantikan semula Tan Sri Azam Baki itu adalah bukti beliau menjalankan tugas dengan cemerlang dan mendapat kepercayaan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan perkhidmatannya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia , Jais Abdul Karim berkata Tan Sri Azam memiliki pengalaman luas dan memenuhi kriteria
yang ditetapkan khususnya dalam memastikan kesinambungan siasatan dan pertuduhan
kes-kes berprofil tinggi yang sedang giat dijalankan.
Perkhidmatan beliau juga amat diperlukan bagi melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif pencegahan menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baru dilancarkan.
Hal ini terutamanya berkaitan penambahbaikan pengurusan tatakelola nasional khususnya membantu meningkatkan daya saing negara serta risiko berlakunya gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.