Pelan komprehensif bencana TH utamakan keselamatan, kebajikan jemaah haji

Foto BERNAMA

SEPANG, 15 April – Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia dengan pelan komprehensif dan mengutamakan tahap keselamatan dan kebajikan jemaah haji bagi menghadapi pelbagai senario kecemasan susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH mempunyai prosedur operasi standard bagi menghadapi pelbagai bencana termasuk peperangan dan ancaman pandemik Covid-19.
  • Pelan bencana disesuaikan dari semasa ke semasa, dengan persiapan pelbagai senario dan kaedah menangani.
  • Keselamatan serta kebajikan jemaah haji Malaysia jadi keutamaan; TH dan kerajaan memantau serta mengurus sepenuhnya di Tanah Suci.

Menurut Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd Norber Kassim, TH mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berdepan pelbagai situasi bencana.

“TH sememangnya telah bersiap sedia dengan pelan bencana seperti mana sebelum ini termasuk peperangan dan ancaman pandemik Covid-19. TH memang telah ada SOP bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan dapat diambil sekiranya perlu.

Jadi pelan ini, insya-Allah akan kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku. TH telah mempersiapkan pelbagai kemungkinan senario yang akan berlaku dan kaedah menanganinya,” katanya.

Mohd Norber berkata keselamatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal menjadi keutamaan TH menjelang musim haji tahun ini.

“Pihak kerajaan melalui TH memberi jaminan semua jemaah haji negara akan berada di bawah pemantauan rapi dan pengurusan sepenuhnya pihak TH sepanjang berada di Tanah Suci,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Lawatan Media Bagi Taklimat Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Musim Haji 1447H / 2026M di sini.

“Kita doakan semoga semua urusan haji ini dapat berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang, insya-Allah,” katanya.