fb fb fb fb fb

Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir beri kesan positif- Exco

Datuk Rais berucap merasmikan Majlis Gelar Adat dan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh Pertubuhan Alqubro di sini hari ini.

MELAKA, 21 Januari- Pelaksanaan Zon Bebas di Banda Hilir menunjukkan kesan positif khususnya peniaga di kawasan sekitar sejak inisiatif berkenaan dilakukan pada 19 Ogos tahun lalu.

Justeru, Kerajaan Negeri Melaka melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya memudahkan semua pihak terutama bagi memberi limpahan ekonomi kepada peniaga di kawasan terbabit.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata sebagai contoh, pemindahan lebih 120 peniaga Uptown Pahlawan Walk dari tapak lama iaitu di Plaza Mahkota ke laluan kenderaan bermula di hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga hadapan Dataran Pahlawan sejak dua minggu lepas mendapat reaksi positif peniaga.

Katanya, berdasarkan pemantauan dilakukan sejak pemindahan peniaga dilakukan, kedatangan pengunjung ke Uptown Pahlawan Walk semakin meningkat dan pendapatan peniaga juga meningkat sekali gus menggembirakan mereka.

"Situasi ini jelas membuktikan setiap penambahbaikan dilakukan kerajaan negeri di Zon Bebas Kenderaan itu bukan untuk menzalimi mereka tetapi membantu meningkatkan pendapatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gelar Adat dan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh Pertubuhan Alqubro di sini hari ini.

Tambah beliau, pemindahan peniaga Uptown Pahlawan Walk ke tapak baharu mengambil kira pelbagai faktor, antaranya tapak baharu bazar malam itu lebih terang dan luas selain merupakan laluan utama pelancong berjalan kaki semasa pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir melibatkan penutupan beberapa jalan selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad. 

Bagaimanapun, tempoh pelaksanaan inisiatif itu dipendekkan kepada 21 jam berbanding 54 jam sebelum ini iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 6 petang hingga 1 pagi sehingga akhir Februari bagi memberi laluan kepada sambutan Tahun Baharu Cina.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI