PUTRAJAYA, 22 September - Pegawai atau pentadbir tanah di setiap peringkat diseru agar menjalankan tanggungjawab dengan lebih teliti, berstrategi dan berpandangan jauh.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan golongan itu perlu memainkan peranan sewajarnya; mengambil kira isu berkaitan tanah yang disifatkan semakin kompleks ketika ini.
"Aspek kecekapan pentadbiran, penambahbaikan pengurusan aset, pemerkasaan ekonomi tanah serta hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjadi asas kepada pembangunan tanah yang mampan dan inklusif.
"Tanah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pegangan aset fizikal, sebaliknya merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang, penjana peluang pekerjaan dan penyumbang utama kepada kesejahteraan rakyat.
"Dengan pengurusan yang bijaksana, berhemah dan berpaksikan kesepakatan, tanah bukan sahaja berperanan sebagai aset strategik negara, malah menjadi warisan bernilai yang akan dinikmati generasi masa depan dalam persekitaran yang sihat, seimbang dan makmur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Tanah Negara 2025 yang berlangsung di sini.
Datuk Seri Johari berpandangan pengurusan tanah di Malaysia memerlukan satu pendekatan baharu yang berorientasikan masa depan dengan penekanan kepada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Langkah itu bagi memastikan tanah yang merupakan aset negara; dapat diurus secara strategik, cekap dan inklusif.
Dalam satu sesi sidang media selepas majlis tersebut, Datuk Seri Johari turut mengulas mengenai isu Kampung Sungai Baru.
Jelasnya, tiada persetujuan tetap telah mengakibatkan pemaju sukar menjalankan tugas.
Malah, isu tersebut turut dipolitikkan pihak tertentu sehingga memerlukan anggota penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk masuk campur ketika perbalahan berlaku baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berpandangan semua pihak termasuk pemaju, ahli politik dan jabatan kerajaan perlu mematuhi definisi serta dasar rasmi berkaitan isu tanah agar naratif pembangunan tidak dikuasai oleh pihak luar.
"Sekiranya tiada definisi jelas berhubung sempadan dan perkara berkaitan, pembangunan semula di Kampung Sungai Baru berpotensi menimbulkan polemik besar sehingga mencetuskan kekecohan yang memerlukan campur tangan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
"Paling penting sekarang, saya menyokong agar pemaju mempercepat pembinaan dua blok terlebih dahulu kerana penduduk yang telah berpindah lebih lapan tahun menunggu untuk kembali ke kediaman asal. Pemaju tidak seharusnya mengambil kesempatan menangguhkan projek ini dengan alasan kes mahkamah," katanya lagi.