
SENDAYAN, 15 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 (PBM 2035) yang membawa visi membangun dan menyerlahkan potensi belia secara holistik, selaras aspirasi negara dalam memperkasa generasi muda.
- PBM2035 sebagai dokumen perancangan strategik dinamik merentas kementerian dan melibatkan lapan kumpulan sasar pembangunan belia.
- Tumpuan kepada tujuh teras termasuk kepimpinan, digital, kecerdasan buatan, pendidikan dan peluang pekerjaan untuk pembangunan holistik belia.
- Pelaksanaan bersepadu dengan kementerian, jabatan dan agensi, dipantau serta dinilai secara berkala melalui Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pelan tersebut dibangunkan sebagai dokumen dinamik perancangan strategik yang merentas pelbagai kumpulan pelaksana serta melibatkan lapan kumpulan sasar pembangunan belia.
“Pelan pembangunan ini merangkumi semua kementerian. Maksudnya, setiap dasar belia di peringkat kementerian perlu dilaksanakan bersama Kementerian Belia dan Sukan.
“Kita berharap tujuh teras yang menjadi keutamaan dapat memastikan golongan belia di negara ini bukan sekadar muda pada usia, tetapi turut dilengkapi pelbagai aspek penting dalam kehidupan.
“Antara teras yang diberi perhatian termasuk kepimpinan, digital, kecerdasan buatan (AI), pendidikan, peluang pekerjaan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini.
Inisiatif itu akan digerakkan secara bersepadu bersama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan yang bertindak sebagai peneraju serta pelaksana bawah Pelan Tindakan PBM 2035 bagi memastikan agenda pembangunan belia dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi.
Pelaksanaan pelan tindakan itu juga akan dipantau dan dinilai secara berkala bagi memastikan setiap program serta inisiatif yang dilaksanakan mencapai matlamat dan keberkesanan yang ditetapkan.
Perkara itu, menurut beliau, akan dibincangkan, dibentangkan dan diperhalusi dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri sebelum turut dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Belia Negara 2026 dimeriahkan menerusi lima segmen utama iaitu Penciptaan dan Peluang Pekerjaan; Kepimpinan, Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan; Malaysia Aktif; Inovasi dan Digital; serta Kebudayaan, Kesenian dan Muzik.
Pengunjung disajikan dengan lebih 169 pengisian program sepanjang tiga hari penganjuran bermula hari ini hingga 17 Mei. Kira-kira 150,000 belia dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjuran bermula hari ini dengan tema Menggerak Belia MADANI.