fb fb fb fb fb

PBAPP lepas air dari EMD, atasi gangguan bekalan air

Empangan Mengkuang/Foto fail

GEORGE TOWN, 2 Oktober - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertindak melepaskan air dari Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD), susulan banjir di Baling yang menyebabkan air mentah dari Sungai Muda menjadi keruh.

Tindakan pantas itu bertujuan mencairkan air mentah yang memasuki Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir K Pathmanathan dalam satu kenyataan berkata, hingga pukul 1.00 pagi tadi, pihaknya mengambil tindakan itu bagi mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri itu.

"Semalam banjir di Baling telah menghanyutkan serpihan dan sisa ke dalam Sungai Muda yang mengakibatkan air sungai keruh berbanding biasa di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai Utara," menurut kenyataan itu.

Katanya, PBAPP turut mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan (ERP) Sungai Muda yang merupakan sumber air mentah utama yang mengepam air ke LRA Sungai Dua.

Tindakan itu diambil susulan daripada insiden banjir di Baling pada 6 Julai 2022 yang telah menyebabkan air Sungai Muda keruh hingga 3,000 NTU ( Unit Kekeruhan Nefelometrik).

Ia turut mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual sekali gus menjejaskan kira-kira 465,000 pengguna.

TETITIA YUSOFF