IPOH, 5 Januari- Orang ramai dinasihat waspada dengan cubaan menipu menerusi pautan palsu ke sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, aktiviti berkenaan kerap berlaku setiap kali kerajaan mengumumkan bantuan atau inisiatif baharu.
"Kita sering peka sebab sebelum ini kita lihat skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan sebagainya sering ada cubaan-cubaan scammer di luar sana memanipulasi ini dengan mewujudkan pautan kononnya tekan ini terus ke laman sesawang berkenaan.
"Jadi kita hendak tegaskan di sini, kita pantau perkara ini sebab itu kita hendak lebih rapat dekat rakyat, supaya rakyat jangan guna platform pihak ketiga, terus berjumpa dengan kita Pusat Ekonomi Digital (PEDi) atau penjawat-penjawat awam atau agensi yang dipertanggungjawabkan", katanya.
Tambahnya, setakat ini, tiada laporan diterima berhubung sindiket penipuan PADU di negeri Perak.
Katanya, taklimat akan diberi kepada semua ADUN di Perak bagi membolehkan mereka membantu memudahkan rakyat mendaftar PADU.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8, Tambun, Ipoh.