FOTO FB UMNO
KUALA LUMPUR, 13 Januari - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan berlangsung selama empat hari bermula 16 Mac ini.
Demikian kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
PAU 2021 dilaksanakan sepenuhnya secara bersemuka dengan kehadiran 14 orang perwakilan daripada setiap Bahagian.
Katanya lagi, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato Onn, di sini malam semalam.
“Kesemua lima perwakilan setiap sayap parti akan menghadiri perhimpunan agung masing-masing dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard), yang ditetapkan.
“Perasmian Perhimpuan Agung Wanita, Pemuda dan Putera UMNO berlangsung pada hari pertama (16 Mac) diikuti perhimpunan agung sayap pada 17 Mac,” katanya menerusi kenyataan selepas mesyuarat itu.
Ahmad berkata pada 18 Mac akan berlangsung ucapan dasar dan perasmian PAU itu oleh presiden parti dan perhimpunan diteruskan pada hari terakhir (19 Mac).
Disember lepas, UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan PAU 2021 yang sepatutnya berlangsung pada esok (13) sehingga 15 Januari.
Penangguhan tersebut susulan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan UMNO akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.
"Sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah kekal, dan perlu terus dimantapkan", tegasnya bersama ahli mesyuarat.
Selain itu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut memutuskan segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti baik untuk menghadapi pengundi berumur 18 tahun dan pengundi baharu.
Ucapan penghargaan turut dizahirkan kepada semua ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir. -BERNAMA