
ARAU, 1 Ogos – Orang ramai diingatkan supaya memastikan Jalur Gemilang dipasang dengan betul sepanjang bulan kebangsaan.
- Pastikan Jalur Gemilang dipasang mengikut tatacara dan spesifikasi; gantikan yang lusuh dan elak dipasang terbalik.
- Jangan beli atau jual Jalur Gemilang yang tidak lengkap jalur; pastikan pembekal mematuhi spesifikasi rasmi.
- Jabatan Penerangan Perlis memperhebat kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, menggerakkan 45 Komuniti MADANI melalui KMJG X JAGO.
Pengarah Penerangan Perlis, Aidatul Shima Che Hassan berkata, langkah itu penting bagi memelihara penghormatan terhadap lambang kedaulatan negara.
“Pasang bendera itu, pastikan dipasang dengan tatacara yang betul. Kita tengok bendera itu lusuh, kita ganti yang baharu. Pasang dan tengok supaya tidak terbalik dan sebagainya.
“Kadang-kadang kita tengok ada juga yang menjual Jalur Gemilang yang tidak cukup jalur. Pastikan ia mengikut spesifikasi Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau ditemui pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGO di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Penerangan (JAPEN) Perlis memperhebat Kempen Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Aidatul Shima berkata, sebanyak 45 Komuniti MADANI di seluruh negeri digerakkan untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai program kenegaraan.
Mengulas lanjut mengenai KMJG X JAGO, beliau memaklumkan, Perlis menjadi negeri pertama melaksanakannya tahun ini.
Kembara yang bermula di Jabatan Penerangan Perlis itu bergerak ke beberapa lokasi mengikut kluster, termasuk keselamatan, komuniti dan industri.