
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ibu bapa perlu terus meyakini kemampuan anak disleksia dan memainkan peranan utama dalam mencungkil potensi mereka untuk berjaya.
- Jangan lihat disleksia sebagai kekurangan; beri peluang dan sokongan untuk menyerlahkan keistimewaan mereka.
- Ibu bapa adalah tonggak utama dalam membentuk masa depan dan mencungkil potensi anak disleksia.
- Persatuan dan sukarelawan berperanan sebagai pemudah cara dalam perkembangan dan sokongan praktikal.
- Islam menekankan perhatian, penghormatan dan layanan adil kepada golongan berkeperluan khas tanpa meminggirkan mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, individu disleksia tidak wajar dilihat berdasarkan kekurangan atau cabaran yang dihadapi, sebaliknya perlu diberi peluang dan sokongan untuk menyerlahkan keistimewaan mereka.
“Di mana pun kita melihat kekurangan dan cabaran, percayalah bahawa di sebalik setiap kejadian pasti ada keistimewaan dan kelebihan.
“Saya yakin bahawa ibu bapa sekalian dipilih daripada jutaan manusia untuk memikul amanah ini, dan insya-Allah, anak-anak ini suatu hari nanti akan menyerlah dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya
Beliau ditemui pemberita selepas meraskikan Hari Sukan Persatuan Disleksia Malaysia 2026 di sini.
Marhamah berkata, persatuan dan sukarelawan berperanan sebagai pemudah cara dalam membantu perkembangan individu disleksia, manakala ibu bapa kekal menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan mereka.
Dalam konteks agama, beliau memaklumkan, Islam turut menitikberatkan kepentingan memberikan perhatian, penghormatan dan layanan yang adil kepada golongan berkeperluan khas tanpa meminggirkan mereka.