KUCHING, 2 Mac- Sepasang suami isteri maut rentung selepas bengkel kenderaan yang turut menempatkan kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Batu Empat, Serian awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman, mangsa dikenali Chin Ah Jon, 70 tahun dan Lim Gek Hue, 60 tahun.
"Kedua-dua mangsa terperangkap di rumah terbabit ketika sedang tidur. Mereka ditemukan rentung di ruang tamu dan bilik tidur. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.23 pagi. Tujuh kenderaan turut musnah dalam insiden berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, seramai 20 anggota dan dua jentera pemadam dari dua balai bomba digerakkan dalam operasi tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.