Pasangan suami isteri rebah makan kulat beracun

Foto RTM

SIK, 29 Jun – Sepasang suami isteri keracunan makanan selepas makan kulat beracun yang disangka “kulat tahun” di Kampung RTP Padang Besar, Padang Cicak di sini pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua mangsa mengalami muntah dan cirit-birit teruk dalam tempoh singkat.
  • Operasi menyelamat sukar kerana mangsa obesiti dan ruang rumah sempit; lima anggota guna peralatan khas.
  • Mangsa dikejarkan ke hospital; orang ramai dinasihatkan tidak memakan kulat liar kerana risiko maut.

Mangsa dilaporkan menikmati hidangan kulat itu pada waktu tengah hari sebelum kedua-duanya mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk dalam tempoh singkat.

Pengarah Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4:40 petang sebelum menggerakkan dua ambulans ke lokasi.

“Pasukan penyelamat menemukan kedua-dua mangsa rebah dalam bilik air dalam keadaan sangat lemah.

Keadaan di dalam rumah juga dipenuhi sisa muntah dan najis akibat mangsa mengalami keracunan yang serius,” katanya.

Menurutnya, operasi menyelamat berdepan kesukaran kerana kedua-dua mangsa merupakan individu obesiti dengan anggaran berat keseluruhan sekitar 280 kilogram selain ruang rumah yang sempit.

“Lima anggota BSYJM menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum proses membawa keluar berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira 20 minit,” ujarnya lagi.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pihaknya menasihati orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memakan kulat liar kerana terdapat spesies yang beracun dan boleh mengancam nyawa jika tersalah makan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.