KUALA LUMPUR, 3 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah, sebaliknya merupakan dewan yang mulia bagi membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Baginda turut mengingatkan ahli-ahli parlimen perlu menjadi benteng perpaduan negara, bukannya agen perpecahan rakyat.
"Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbang atau 'check and balance' ke atas pentadbiran negara," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Baginda turut menyeru Ahli-ahli Parlimen agar menghentikan permainan politik atas setiap isu serta tidak hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Rakyat yang menunjukkan prestasi positif pada persidangan Parlimen tahun lepas
"Saya perhatikan dalam persidangan dewan pada tahun lalu, AhlI-ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua. Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara," titah baginda.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Dewan Rakyat kira-kira 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut menghadiri istiadat berkenaan.
BERITA BERKAITAN