fb fb fb fb fb

PAC bimbang kelewatan projek LCS

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 29 Februari - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua-Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada jadual yang telah ditetapkan. 

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, melalui prosiding tindakan susulan PAC turut dimaklumkan bahawa isu reka bentuk terperinci LCS masih belum dimuktamadkan oleh Kementerian dengan pihak Naval Group Perancis.   

"Kebimbangan utama PAC adalah pembinaan kapal LCS terus lewat dan MINDEF memaklumkan setakat Disember 2023, projek ini telah lewat sebanyak 86 hari dengan mencapai 67.28% berbanding Jadual Garis Masa Baharu yang telah ditetapkan MINDEF iaitu 68.77%. Walaupun perbezaannya adalah 1.49 peratus, ini telah menyebabkan jumlah kelewatan selama 86 hari," kata Mas Ermieyati dalam satu sidang media, di Parlimen.

Beliau mengulas laporan tindakan susulan yang diambil MINDEF terhadap 11 syor yang dibuat PAC terhadap kemajuan projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga September 2023 yang dibentangkan hari ini.

Mas Ermieyati turut memaklumkan bahawa PAC telah memulakan prosiding pada 26 Februari lalu berhubung sistem tol Pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di bawah Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Katanya kontraktor bagi projek berkenaan, Boustead Naval Shipyard (BNS) ditukar nama kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS) setelah ia diambil alih oleh Ocean Sunshine Bhd milik Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Ogos, tahun lepas.

“Orang ramai boleh membaca setiap tindakan susulan dan ulasan PAC dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya.

Beliau berkata tiga saksi dipanggil pada prosiding iaitu Timbalan Ketua Setiusaha (TKSU) (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dan Ketua Pasukan Petugas Khas MLLF LLM Khairulanuar Muhari.

Katanya, PAC akan menyambung prosiding pelaksanaan projek MLFF dengan mengadakan tiga prosiding secara berasingan pada 25 Mac depan.

Saksi yang akan dipanggil piula ialah presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pengarah Projek Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, ketua pegawai eksekutif Kumpulan SEP Synergy Sdn Bhd Zaharin Hamzah dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Datuk Shamsul Azri Abu Bakar.

MLFF adalah satu sistem kutipan tol tanpa perlu berhenti yang menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol.

Secara prinsip, pelaksanaannya diluluskan pada 2021 oleh kerajaan terdahulu dengan peruntukan awal berjumlah RM3.46 bilion, namun 32 syarikat konsesi tol lebuh raya dilaporkan membantah projek itu kerana mendakwa kerajaan telah menganugerahkannya secara langsung kepada sebuah syarikat swasta, YTL Corporation Bhd, tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiayai pelaksanaannya.

TETITIA YUSOFF