KUALA LUMPUR, 15 November - Program Pusat Sehenti (OSC) Kesejahteraan Sosial yang menggabungkan 15 agensi kerajaan dan swasta bawah satu platform dilihat sebagai pemudah cara kepada rakyat.
Ali Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu memudahkan akses kepada rakyat, maklumat dan peluang peningkatan sosioekonomi tanpa perlu melalui proses rumit dan berulang.
"Dengan adanya pusat sehenti ini, semua agensi datang sekali. Insya-Allah kita dapat khidmat lebih baik, cepat dan bersepadu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pusat Sehenti (OSC) Kesejahteraan Sosial dan Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di ibu negara hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menekankan pentingnya nilai keterangkuman, ehsan dan kerjasama seperti yang ditekankan dalam gagasan Malaysia MADANI.
Kerjasama antara kerajaan, swasta dan komuniti, merupakan kunci dalam memastikan rakyat daripada semua latar belakang dapat merasai perhatian dan perlindungan sewajarnya.
Program itu turut menampilkan peranan besar NADI di bawah MCMC, yang kini menjadi pusat penghubung digital untuk komuniti. Selain menyediakan capaian internet, pusat NADI juga menawarkan pelbagai latihan, kelas dan aktiviti bagi meningkatkan kemahiran digital serta jaringan sosial penduduk.
"Setakat ini, lebih 1.8 juta ahli NADI telah berdaftar dengan hampir 937,000 penyertaan dicatatkan daripada pelbagai program di seluruh negara .NADI ini bukan sekadar tempat internet. Ia tempat belajar, tempat membina kemahiran, dan ruang untuk memperkukuh jaringan sosial kita," katanya lagi.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan kejayaan besar apabila NADI Pulau Bangi, Sabah, diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas memenangi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva bagi kategori Capacity Building.
Kejayaan itu disifatkan sebagai bukti keberkesanan model NADI dalam memperkasakan masyarakat luar bandar.
Program berkenaan juga menyaksikan penganugerahan sijil MyGAP kepada dua kebun komuniti di Sri Sabah 3A dan Sri Jaya 4A yang juga penerima insentif Sejati MADANI, dan antara komuniti terawal menerima pensijilan myGAP di Wilayah Persekutuan.
Pengiktirafan itu diberikan kepada komuniti yang mengamalkan pertanian selamat, berkualiti dan lestari sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat dan kesihatan masyarakat.
Datuk Seri Dr Wan Azizah turut mengucapkan penghargaan kepada ICU JPM dan semua agensi pelaksana iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), GIATMARA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysia Productivity Corporation (MPC) atas usaha memastikan program itu mencapai matlamat kesejahteraan sosial.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi dan Timbalan Ketua Pengarah ICU JPM Nik Shafiruddin Nik Shahar Shah.