fb fb fb fb fb

Orang ramai dijemput hadir Program Zikir Akbar MADANI di Putrajaya

FOTO JAKIM

ANGKASAPURI, 31 Januari- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama 13 agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menganjurkan Program Zikir Akbar MADANI di Putrajaya petang ini sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM,  Osman Abu Bakar berkata program itu bertujuan memperkasakan nilai kerohanian dalam masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ketenangan psikologi dan kesejahteraan emosi melalui amalan spiritual.

Selaras dengan tema "Islam Mekar di Bumi Malaysia", program terbabit diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat Islam melalui majlis ilmu.

"Harapan JAKIM adalah agar masyarakat dapat hadir beramai-ramai untuk bersama-sama meraikan dan mengambil manfaat daripada Program Zikir Akbar MADANI yang diadakan ini. Mudah-mudahan program ini memberi manfaat kepada semua yang terlibat khususnya dalam membina hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas)," katanya kepada RTM selepas hadir pada program Selamat Pagi Malaysia di sini pagi tadi.

Program dijadual berlangsung dari 6.00 petang hingga 10.30 malam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan akan diserikan dengan kehadiran serta amanat khas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr.  Mohamad Naim Mokhtar serta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zaleha Mustafa.

Sebagai pengisian utama, program menampilkan dua sesi tausiyah.

Tausiyah pertama bertajuk "Kebersihan Jiwa Membina dan Memartabatkan Diri serta Ummah" akan disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohamad Fakhrudin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam.

Sementara itu, tausiyah kedua bertajuk "Masyarakat MADANI, Wilayah Harmoni" bakal disampaikan oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Datuk Dr. Lokman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan.

3101 SPM ZIKIR MADANI JAKIM 2
Osman Abu Bakar/RTM

SITI AISHAH MD ISA