KUALA LUMPUR, 17 Disember- Sebanyak 247 motosikal disita dan 628 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Motosikal yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Chek Lah, ia membabitkan enam sekatan jalan raya yang dilakukan melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.
"Kebanyakan penunggang motosikal telah mengubah suai motosikal mereka dan akan menguji motosikal mereka di kawasan ini.
"Operasi dijalankan ekoran lokasi terbabit menjadi tumpuan penunggang motosikal untuk mencuba kelajuan motosikal masing-masing,"katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Motosikal di sini.
Tambahnya, sejumlah 665 motosikal telah disita dan 23,081 saman dikeluarkan tahun ini di tiga lokasi sama.