
IPOH, 25 Mei– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki yang dipercayai terkandas di laluan Gunung Batu Putih, Tapah sejak Ahad (24 Mei) terus dipergiat dengan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pagi tadi.
- Mangsa lelaki Mohd Hanafi, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah; diutamakan pemindahan perubatan (MEDEVAC) melalui helikopter AW139.
- Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, mengalami kecederaan kaki dan masih belum dikesan; lokasi belum dikenal pasti.
- Seramai 12 anggota Pasukan Khas STORM JBPM Perak diterbangkan ke puncak dari Kem PGA Bidor sebelum menjejaki mangsa secara berjalan kaki.
- Operasi dibantu anggota BBP Tapah, malim gunung perhutanan dan pegawai Jabatan Perhutanan Perak; SAR diteruskan sehingga mangsa ditemui.
Seorang mangsa lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas serta muntah darah manakala seorang lagi pendaki wanita yang mengalami kecederaan kaki masih belum dapat dikesan.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) menggunakan helikopter AW139 digerakkan bagi membawa turun mangsa lelaki terlebih dahulu sebelum operasi SAR diteruskan bagi mengesan mangsa wanita.
“Keutamaan operasi pagi ini adalah membawa keluar mangsa lelaki yang mengalami sesak nafas dan muntah darah menggunakan kaedah winching melalui pesawat AW139 JBPM.”
“Pada masa sama, operasi mencari mangsa wanita akan diteruskan sehingga lokasi beliau berjaya dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, seramai 12 anggota Pasukan Khas STORM JBPM Perak diterbangkan ke Puncak Gunung Batu Putih menggunakan helikopter dari Kem PGA Bidor sebelum bergerak ke lokasi mangsa dengan berjalan kaki.
Operasi turut dibantu Malim Gunung Perhutanan dan pegawai Jabatan Perhutanan Perak.
Dalam kejadian itu, mangsa lelaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41 tahun dilaporkan tidak dapat meneruskan perjalanan selepas mengalami masalah pernafasan ketika berada di Kem Batu Core sejak malam Sabtu lalu.
Seorang lagi pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49 tahun, yang dilaporkan mengalami kecederaan kaki pula masih belum dapat dikesan dan operasi SAR terus digerakkan.
Terdahulu, kumpulan pendaki terbabit memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada pukul 2.00 pagi, Sabtu lalu melibatkan laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih hingga Kuala Woh.
Sementara itu, lokasi Jaslinda masih belum dapat dikenal pasti selepas komunikasi terakhir diterima daripada malim gunung pengiring pada pukul 5.45 petang pada Ahad (24 Mei).
Operasi SAR melibatkan anggota BBP Tapah, Pasukan STORM JBPM Perak, Unit Udara JBPM serta bantuan agensi keselamatan dan perhutanan negeri.