244 peniaga Putrajaya nikmati diskaun sewa 30 peratus

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh/BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Mei– Seramai 244 peniaga di sekitar Putrajaya bakal menikmati pengurangan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus bagi premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) bermula 1 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif bertujuan mengurangkan kos operasi peniaga dan membantu mereka bertahan dalam keadaan ekonomi mencabar.
  • Peniaga perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga Mei 2026 untuk layak dan membolehkan susunan semula komitmen sewaan.
  • Inisiatif Diskaun Sajian Warga Emas 10 hingga 15 peratus diperkenalkan, khas untuk warga emas yang makan di premis terlibat.

Inisiatif yang melibatkan peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar awam itu bertujuan mengurangkan kos operasi, sekali gus membantu mereka bertahan dalam mendepani keadaan ekonomi yang mencabar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pengurangan kadar sewa itu akan dilaksanakan selama 12 bulan sehingga 30 Mei tahun depan.

“Bagi melayakkan mereka menikmati insentif itu, peniaga terlibat perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga Mei 2026 bagi membolehkan komitmen sewaan disusun semula secara lebih stabil dan mampan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Tinjauan Mesra di Medan Selera Presint 9, hari ini.

Selain itu, Inisiatif Diskaun Sajian Makanan Warga Emas antara 10 hingga 15 peratus turut diperkenalkan bagi memperluas manfaat kepada komuniti setempat.

“Bermula di medan selera ini, semua peniaga telah bersetuju untuk memberikan diskaun makanan dan minuman sehingga maksimum 15 peratus iaitu antara 10 hingga 15 peratus kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.”

“Diskaun ini tidak terpakai untuk satu keluarga, sebaliknya khas kepada warga emas yang makan dan minum di premis terlibat,” jelasnya.

Beliau berkata PPj merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang melaksanakan inisiatif seumpama itu.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan akan dipantau sepanjang tempoh 12 bulan sebelum dinilai semula bagi memastikan manfaatnya dapat diteruskan secara tersusun dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.