KUALA LUMPUR, 20 Mei - Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di sekitar ibu negara dan Putrajaya, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi rel bermula 23 hingga 28 Mei ini.
Langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang tempoh penganjuran acara antarabangsa tersebut.
Menurut kenyataan Prasarana Malaysia Berhad, waktu operasi tren bagi laluan utama akan dilanjutkan satu jam pada waktu puncak pagi dan petang sepanjang hari bekerja.
Waktu operasi baharu melibatkan tren beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga 10.00 pagi, dan 4.30 petang hingga 10.00 malam.
Pada hujung minggu, kekerapan tren turut dipertingkat bagi menampung pertambahan penumpang.
Laluan Ampang/Petaling akan beroperasi setiap 4 minit, Laluan Kelana Jaya setiap 5 minit, manakala Monorel KL, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya akan beroperasi setiap 8 minit.
Rapid KL juga akan mempertingkat kawalan operasi serta bersedia menambah bilangan tren mengikut keperluan semasa dan jumlah penumpang.
Sebanyak 400 kakitangan tambahan ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi membantu kelancaran pergerakan penumpang dan delegasi.
Sementara itu, beberapa laluan bas Rapid KL dan perkhidmatan On-Demand dijangka mengalami kelewatan akibat penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa.
Antara laluan terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), dan Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa – Chow Kit).
Pengguna bas yang menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran beralih kepada perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara stesen rel yang disaran termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay (Laluan Putrajaya), dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL).
Rapid KL menyarankan orang ramai merancang perjalanan lebih awal, mengikuti makluman terkini di media sosial rasmi atau aplikasi PULSE, serta menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan kesulitan.