
BANDAR BARU BANGI, 6 Februari – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan 3,000 tempat percuma bagi kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) bernilai RM2.6 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- NIOSH menawarkan 3,000 tempat kursus OSH-C percuma khusus untuk PKS.
- Inisiatif ini membantu PKS mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
- MoU dengan Persatuan PKS Malaysia memperluas capaian program kesedaran dan latihan KKP.
- NIOSH juga menyediakan khidmat rundingan percuma termasuk Program WINA untuk penambahbaikan KKP.
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen, menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh PKS, khususnya dari segi kewangan.
“Justeru, kursus percuma ini diperkenalkan sebagai langkah proaktif bagi membantu mereka mematuhi undang-undang tanpa rasa terbeban.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta membantu PKS mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 Jun 2024.
“Kegagalan melantik OSH-C bagi majikan dengan lima atau lebih pekerja boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara enam bulan,” katanya.
MoU kerjasama strategik antara NIOSH dan Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) ditandatangani hari ini bagi memperluas capaian program kesedaran dan latihan KKP.
“NIOSH sebelum ini menyediakan 10,000 tempat percuma di bawah inisiatif OSH-C MADANI, manakala PKS menyumbang besar kepada ekonomi dengan pertumbuhan KDNK 5.8 peratus pada 2024.
“Selain kursus, NIOSH turut menawarkan khidmat rundingan percuma termasuk program Workplace Improvement Need Analysis (WINA) bagi membantu majikan melaksanakan penambahbaikan KKP,” menurutnya menerusi kenyataan tersebut.