RAWANG, 1 Julai - Nilai kontrak yang diberikan kepada syarikat tempatan yang terlibat dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencecah RM18.57 bilion.
Menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, jumlah itu melepasi sasaran asal RM10.8 bilion.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, ECRL telah melibatkan kira-kira 3,300 syarikat tempatan, merangkumi kontraktor, perunding dan pembekal sejak 2017 hingga Mei 2025.
Jelasnya, sebanyak RM3.4 bilion atau 97.14% daripada sasaran RM3.5 bilion untuk kerja-kerja awam ECRL telah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
“MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) akan terus bekerjasama bagi memastikan nilai kontrak tertinggi dapat diberikan kepada syarikat tempatan dan bumiputera sehingga siap pembinaan ECRL,” katanya ketika berucap pada majlis penembusan Terowong Serendah 2 di sini.
Menurut Tan Sri Shamsul Azri, Terowong Serendah 2 sepanjang 9.88 kilometer berjaya ditembusi enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Beliau memberitahu, pemasangan lapisan kekal terowong itu mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan lebih 7,500 meter telah siap sebelum penembusan.
"Ini merupakan terowong kedua terpanjang dalam jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer.
Hari ini sejarah terlakar apabila kerjasama antara ECRL dan CCCC dan juga pihak-pihak berkuasa tempatan, kita berjaya menembusinya enam bulan lebih awal, daripada jangkaannya Disember 2025, kita dapat siapkan pada 26 jun 2025," katanya lagi.
Projek ECRL melibatkan pembinaan 41 terowong dengan jumlah keseluruhan kira-kira 69 kilometer sepanjang laluan rel tersebut.
Terowong Kembar Genting sepanjang 16.39 kilometer, yang kini di peringkat akhir penggalian, dijangka berjaya ditembusi sepenuhnya pada pertengahan bulan ini.
Projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 84.59% setakat Jun 2025.