KUALA LUMPUR, 17 Februari- Nelayan disaran untuk menguasai teknologi perikanan terkini dan memodenkan teknik penangkapan ikan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu bertujuan meningkatkan hasil tangkapan dan memelihara sekuriti makanan negara, sekali gus, membantu meningkatkan taraf sosiekonomi nelayan.
"Kita mahu membina satu industri perikanan yang mampan. Satu industri yang utuh dan kuat kepada negara.
"Sekarang dunia bergerak ke arah sekuriti makanan. Sektor makanan, percayalah sektor pertanian perikanan ini adalah penyumbang utama sektor makanan yang tidak akan rugi sampai bila-bila. Ambillah manfaat yang ada untuk kembangkan industri", katanya semasa berucap pada sambutan Ulang Tahun Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-39 di ibu negara.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian bantuan awal persekolahan kepada anak-anak nelayan dengan nilai barangan berjumlah RM 110,000.00 sebagai persediaan awal persekolahan bagi sesi depan.
Bantuan awal persekolahan itu merupakan sumbangan bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dan Petronas Dagangan Berhad.