IPOH, 24 April- Lapan jenazah pegawai dan anggota TLDM selesai disolatkan di Surau Salahuddin Al Ayubi, Kem Gua Permai Ipoh pukul 5.40 petang tadi.
Solat jenazah yang dipimpin Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah disertai kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai, pegawai dan anggota tentera.
Kesemua jenazah kemudian dibawa ke kampung halaman masing-masing kira-kira pukul 6.00 petang untuk dikebumikan.
Terdahulu kesemua jenazah dimandi dan dikafankan selepas selesai prosedur bedah siasat dan forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Sementara itu, dua lagi mangsa nahas bukan Islam, mendiang Leftenan T.Sivasutan dan Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna, masing-masing dibawa ke Setiawan, Perak dan Serian, Sarawak untuk disemadikan.