fb fb fb fb fb

Nada sokongan Jerman kepada Israel berubah selepas kritikan Anwar

Keadaan kediaman di Gaza akibat diserang Israel/REUTERS

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Perubahan nada sokongan Jerman kepada Israel selepas kritikan keras Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Jerman baru-baru ini disifatkan satu kejayaan diplomatik dalam mempengaruhi negara-negara besar.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Dr Mazlan Che Soh berkata, kritikan keras Perdana Menteri telah membuka minda dan perspektif baharu buat negara Jerman terhadap serangan-serangan kejam yang dilakukan oleh Israel kepada Gaza.

"Dalam konteks ini saya percaya bahawa dorongan utama tentunya datang daripada Jerman sendiri. Kalau mereka tidak mahu mendengar apa-apa teguran daripada mana-mana pihak, ianya tidak akan berlaku.

"Ini merupakan satu indikator yang positif yang saya percaya sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada negara-negara kuasa besar lain yang merupakan sekutu kuat kepada Israel.

"Jadi harapan saya ialah supaya perubahan sikap Jerman ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi walaupun beberapa negara kuasa besar yang lain untuk lebih bersikap rasional dan menilai kembali dasar luar mereka terhadap Israel dan mengambil satu tindakan yang sewajarnya demi untuk keadilan manusia sejagat," katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, Malaysia merupakan negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai pendirian yang sangat kukuh terhadap Gaza.

"Saya rasa Perdana Menteri ketika Persidangan ASEAN pun beliau sebut, orang lain tak sebut. beliau mahu kewujudan dunia yang aman, perlu selesaikan dahulu isu di Palestin.

"Malaysia sangat konsisten sejak dulu, tidak akan sama sekali berkrompomi dengan Israel. Jadi Perdana Menteri bawa naratif itu di luar negara yang dilawati.

"Beliau bangkitkan kesedaran itu. Jadi konsistensi itu yang menyebabkan saya rasa sedikit sebanyak membuka mata kepada dunia berkenaan isu Gaza dan Palestin," katanya.

Jumaat lalu, sebuah artikel The New York Times berkata nada sokongan Jerman kepada Israel telah berubah.

Korespondennya di Berlin, Erika Solomon menulis, Jerman semakin rasa janggal dalam kedudukannya sebagai sekutu rapat Israel.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI