fb fb fb fb fb

MyMudah, tingkat produktiviti dan daya saing negeri

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berucap ketika merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui pelaksanaan platform MyMudah.

Ini bagi melonjakkan produktiviti, daya saing serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penubuhan unit MyMudah secara menyeluruh di setiap peringkat, melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah di negeri itu.
 
Berucap ketika merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus, di sini, Mohd Zuki berharap platform tersebut digunakan sebaiknya oleh penjawat awam, pengawal selia dan persatuan serta pemain industri, bagi memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif dan penyampaian peraturan lebih cekap.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, tahap produktiviti setiap pekerja di Malaysia meningkat kepada RM96,692 tahun lepas, berbanding RM95,858 pada 2022.

Beliau berkata, bilangan pekerja turut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 2.5 peratus dengan jumlah 16.3 juta orang, sekali gus menggambarkan pasaran tenaga kerja yang stabil dan peningkatan aktiviti ekonomi di negara ini.

“Ini juga mencerminkan trajektori positif pewujudan peluang pekerjaan baharu. Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama semua pihak di sektor awam dan swasta.

"Usaha bersama ini perlu diteruskan dan diperkukuhkan di masa hadapan agar sasaran dan matlamat negara boleh dicapai. Hasilnya dinikmati bersama, kepada perkhidmatan awam, pemain industri, anak-anak kita dan generasi yang akan datang,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN