
KUALA LUMPUR, 14 April – Musyawarah Nasional diharap menjadi platform yang menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan Islam dan Melayu, ahli profesional, tokoh berpengaruh serta pemimpin pendapat untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan merumuskan penyelesaian terbaik kepada cabaran dihadapi ummah hari ini.
- Musyawarah Nasional berperanan menghimpun hikmah untuk manfaat umat Melayu, Islam dan masa depan negara.
- Lima Pengerusi Teras dilantik untuk memacu perbincangan dalam agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
- Pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar meneliti langkah demi pembangunan masa depan ummah.
- Penekanan strategik pada lima teras bertujuan merangka hala tuju masa depan masyarakat Melayu dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata platform itu juga berperanan sebagai medan menghimpunkan hikmah dan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada umat Melayu dan Islam, tetapi kepada masa depan negara secara keseluruhan.
“Hari ini saya menyerahkan watikah pelantikan kepada lima Pengerusi Teras Musyawarah Nasional yang akan memacu perbincangan dalam bidang kepakaran masing-masing merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata beliau bersama bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman yang dilantik Pengerusi Musyawarah Nasional turut meneliti perkara-perkara yang boleh digerakkan demi masa depan pembangunan ummah.
Antara penerima watikah tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange Bhd (DNeX) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail selaku Pengerusi Teras Ekonomi dan pendakwah terkenal Datuk Prof Dr Mohd Kashim Shamsuddin sebagai Pengerusi Teras Agama.
Beliau sebelum ini memaklumkan Musyawarah Nasional akan menumpukan kepada lima teras utama meliputi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial bagi menghimpunkan pemikiran, pandangan serta cadangan strategi dalam merangka hala tuju strategik masa depan masyarakat Melayu dan negara. – BERNAMA