TANJUNG MALIM, 19 Februari– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan mural vertikal pertama di Malaysia, sekali gus menjadi mercu tanda baharu universiti itu.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, mural yang dilukis pada menara tangki air, rumah pam dan dua tangki di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu bukan sekadar hasil seni, juga merupakan simbol kreativiti dan inovasi institusi berkenaan.
Beliau berkata mural itu adalah manifestasi komitmen universiti dalam mempromosikan seni dan budaya kepada masyarakat serta mendukung kreativiti dalam kalangan pelajar dan komuniti.
“Mural ini tidak hanya mempamerkan keindahan seni, tetapi turut mengukuhkan identiti UPSI sebagai institusi pendidikan unggul dan kreatif. Projek ini menjadi kebanggaan kami kerana menjadi yang pertama di Malaysia dengan projek mural vertikal berskala besar ini.
“Dengan ketinggian dan ukuran yang mengagumkan, mural ini melambangkan daya saing dan kesungguhan UPSI untuk terus mencipta inovasi yang membawa impak positif kepada masyarakat setempat", katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pihak UPSI percaya bahawa karya ini bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan universiti, tetapi juga daya penarik baharu untuk masyarakat luar mengunjungi UPSI.
“Seni memiliki kuasa untuk menyatukan komuniti, dan melalui mural ini, kami berharap dapat menginspirasi lebih ramai pelajar serta pengunjung untuk menghayati kepentingan pendidikan dan kebudayaan.
Selain menjadi tarikan visual yang memukau, mural vertikal ini juga dijangka menjadi latar belakang yang popular untuk aktiviti bergambar dan media sosial.
“Keunikan projek ini pastinya menarik perhatian ramai, sekali gus mempromosikan UPSI sebagai destinasi pelancongan pendidikan yang kreatif.
“Dengan pemandangan mural yang menjulang tinggi, pengunjung bakal merasai keajaiban karya seni yang membawa sentuhan tempatan dan global.
“Mural ini turut menandakan UPSI sebagai institusi yang inovatif, yang mampu memanfaatkan ruang dan elemen persekitaran untuk menyampaikan mesej pendidikan secara visual.
“Kami berharap mural ini akan mengundang rasa kagum dan mencetuskan perbincangan tentang pentingnya seni dan kreativiti dalam dunia pendidikan", ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI, Dr Izzal Khairi Ramli yang juga pereka mural berkata konsep rekaan mural itu diilhamkan daripada peranan UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan.
Beliau berkata, mural itu menampilkan gambaran kanak-kanak membaca buku sebagai simbol pemeliharaan budaya ilmu meskipun dalam era digital yang dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan.
"Visual flora dan fauna turut diterapkan sebagai perlambangan ekosistem unik di Tanjung Malim yang terletak di lembah kaki Banjaran Titiwangsa.
Mural vertikal berkenaan dihasilkan oleh kumpulan Muralman84 yang terdiri daripada empat orang pelukis dengan penyertaan seramai 168 orang mahasiswa UPSI semester satu dan semesta tiga yang terpilih dari Kursus Lukisan Kreatif dan Asas Reka Bentuk dari Program Jabatan Multimedia Kreatif (JMK).
“Kejayaan projek itu diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif seni di institusi pendidikan lain, selain menggalakkan masyarakat menghargai keindahan mural dalam persekitaran kampus dan bandar,” katanya.