fb fb fb fb fb

MPK sasar lupus tempat pembuangan sampah tepi jalan

FOTO ISTANA ARAU

ARAU, 7 Jun- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyasarkan untuk melupuskan tempat pembuangan sampah tepi jalan secara berperingkat.

Selain itu, MPK turut mengambil tindakan serta menyelesaikan setiap aduan dalam masa 24 jam atau kurang bagi sebarang masalah yang dilaporkan oleh rakyat negeri Perlis yang tidak melibatkan isu-isu dasar.

Menurut Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Khan, pihaknya juga akan menjalankan penambahbaikan kemudahan dan prasarana yang berada bawah tanggungjawabnya termasuk tempat pembuangan sampah berpusat di taman perumahan yang baharu selaon masalah ketiadaan tong sampah di depan rumah.

Pembinaan Taman Rekreasi Madani di lokasi terpilih juga merupakan agenda utama yang ditekankan dalam masa terdekat ini.

Turut dirangka, larangan dan pembehertian pembungkusan makanan atau minuman menggunakan polisterin putih yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Beliau terdahulu menyembahmaklum perkara berkenaan kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap di Galeri DiRaja Arau sebagai YDP baharu MPK.

Affendi yang merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik sebelum ini menjalankan tugas sebagai Pengarah KPDN Kedah, merupakan anak jati kelahiran Perlis dan pernah berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sesi mengadap itu juga bertujuan memohon titah pandangan dan nasihat  Tuanku Pemangku Raja mengenai beberapa perancangan pembangunan di Perlis yang perlu ditambah baik supaya sentiasa berada pada tahap yang memuaskan demi kemaslahatan dan imej negeri Perlis  sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE