fb fb fb fb fb

MPI lantik enam muka baharu

Berdiri dari kiri : Azri Atan, Choo Joon Kian, Zamri Rambli, Ainol Amriz Ismail Duduk dari kiri: Dato’ Akhbar (Setiausaha Syarikat MPI), Datuk Yong Soo Heong, Datuk Mustapa Omar, Farrah Naz Karim dan Brian Martin. Tiada dalam gambar : Dr. Diana Dominic dan Nur-ul Afida Kamaludin / Foto MPI

CYBERJAYA, 17 Mei- Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan enam ahli Majlis Pentadbir baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan MPI yang diadakan pada hari ini.

Menerusi satu kenyataannya, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong memaklumkan pemilihan berkenaan dibuat mengikut memorandum dan artikel persatuan.

"Ini menjadikan jumlah Ahli Majlis Pentadbir MPI seramai sembilan orang termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden", jelasnya.

Enam Ahli Majlis Pentadbir berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Sinar Harian Zamri Rambli, Pengarang Kanan Digital dan Berita & Hal Ehwal Semasa Azri Atan TV3, Penolong Pengarang Utusan TV Ainol Amriz Ismail, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Media Corporation Sdn Bhd Choo Joon Kian dan Ahli Kehormat Persatuan Wartawan Sabah Dr. Diana Dominic.

Dalam pada masa sama, MPI turut bersetuju untuk melantik semula tiga jawatan utama Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden iaitu Datuk Yong Soo Heong, Farrah Naz Karim dan Brian Martin bagi tempoh dua tahun.

Sementara itu, Ahli mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan bagi meminda perlembagaan MPI yang berusia 17 tahun untuk menjadikannya relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.

"Mesyuarat hari ini melambangkan kesinambungan pembaharuan dalam kegiatan MPI di mana ahli diberi kuasa untuk menyuarakan pendapat mereka supaya pentadbiran MPI boleh dijalankan secara lebih inklusif dan lancar", jelas Soo Heong dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya lagi, barisan kepimpinan MPI akur kepada permintaan daripada ahli supaya kegiatan latihan yang menjadi teras kegiatan utama sentiasa ditingkatkan demi kebaikan industri kewartawanan dalam negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD