KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kementerian Pengangkutan menasihatkan orang ramai, khususnya petani di luar bandar, supaya memastikan motosikal roda tiga atau kenderaan yang diubah suai mendapat kelulusan sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum digunakan di jalan raya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan, kegagalan mendapatkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan atau Vehicle Type Approval (VTA) akan menyebabkan kenderaan berkenaan tidak layak dilindungi insurans, selain tidak boleh membayar cukai jalan.
"Pertamanya memang kita tahu ada kemudahan seperti ini dan JPJ tahu ada motosikal yang telah diubah suai. Namun begitu, kalau motosikal yang diubah suai ini tidak menetapi syarat kelayakan ataupun tidak mendapat kelulusan VTA, penggunaan itu tidak mengikut undang-undang.
"Maka ia tidak boleh ada insurans, tidak boleh membayar cukai jalan dan risikonya ditanggung sendiri oleh pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan berkenaan garis panduan kepada motosikal roda tiga atau kenderaan yang diubah suai supaya tidak dianggap sebagai kenderaan haram yang tidak boleh melalui jalan-jalan raya.
Tegasnya, pembekal dan pengeluar motosikal roda tiga bertanggungjawab mendapatkan kelulusan teknikal daripada JPJ, manakala kementerian bersedia memberi penerangan serta nasihat teknikal kepada pengguna untuk memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang.