fb fb fb fb fb

MOT saran syarikat p-hailing utamakan keselamatan penghantar

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif keselamatan ‘Panda Save’ oleh syarikat penghantaran makanan, Foodpanda.

Inisiatif itu mengguna pakai teknologi telematik dalam memantau corak pemanduan para penghantar sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan.

Jelasnya, program tersebut merupakan langkah positif ke arah membudayakan keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang penghantar makanan.

“Hari ini kita menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh Foodpanda. Panda Save ini menggunakan telematik untuk menilai cara pemanduan dan memastikan keselamatan rider (penghantar makanan),” jelas Anthony selepas menghadiri pelancaran inisiatif berkenaan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program "Panda Save" di bangunan Vertical Corporate Food Panda, di sini, hari ini.

Teknologi telematik berupaya merekod dan menganalisis corak pemanduan penghantar termasuk kelajuan, brek mengejut dan pengendalian motosikal yang berisiko.

Inisiatif itu turut melibatkan kerjasama dengan syarikat insurans dan pembekal motosikal sebagai sebahagian daripada ekosistem keselamatan yang lebih menyeluruh.

Anthony menegaskan bahawa syarikat-syarikat penghantar makanan tidak seharusnya membebankan penghantar dengan sistem ganjaran, yang mengutamakan kecepatan dan kuantiti penghantaran semata-mata, sehingga menjejaskan keselamatan.

“Saya tidak mahu syarikat-syarikat platform memaksa atau menghukum para penghantar untuk mengejar jumlah penghantaran tanpa mengambil kira aspek keselamatan. Kita pernah dengar sebelum ini ada platform yang mengenakan potongan komisen sekiranya penghantaran tidak dibuat tepat pada masanya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan statistik membimbangkan kira-kira dua pertiga daripada kemalangan maut di jalan raya melibatkan penunggang motosikal, yang merangkumi sebahagian besar adalah penghantar makanan.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat platform akan mengambil langkah proaktif seperti Panda Save, sekali gus menjadikan budaya keselamatan sebagai sebahagian daripada sistem operasi korporat mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM