MOT keluar garis panduan penggunaan kenderaan ‘de-controlled’, pikap

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 MAC – Satu garis panduan berkaitan penggunaan kenderaan ‘de-controlled’ dan pikap bagi membawa barangan dikeluarkan untuk memberikan penjelasan kepada orang awam, pemilik kenderaan serta pemain industri mengenai penggunaan kenderaan tersebut secara sah dan selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan berkuat kuasa mulai 1 April untuk elakkan kekeliruan pengguna jalan raya mengenai penggunaan kenderaan membawa barangan.
  • Memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara lebih konsisten oleh agensi penguat kuasa.
  • Memberi tempoh persediaan kepada pemilik kenderaan dan syarikat untuk menyesuaikan operasi.
  • Pikap persendirian dibenarkan membawa barangan sendiri jika muatan diangkut selamat dan tidak melebihi had kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, garis panduan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 April ini, bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya berkaitan penggunaan kenderaan untuk membawa barangan.

Beliau berkata langkah itu juga bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih konsisten oleh agensi penguat kuasa.

Sekali gus memberi tempoh persediaan kepada pemilik kenderaan dan syarikat bagi menyesuaikan operasi mereka.

“MOT berharap garis panduan ini boleh memberi kefahaman yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai penggunaan kenderaan de controlled dan kenderaan pikap dan seterusnya memastikan aktiviti pengangkutan barangan dilaksanakan secara teratur serta mematuhi undang undang demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya  pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Loke, garis panduan itu turut merangkumi penggunaan kenderaan pikap persendirian yang mana pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi muatan diangkut secara selamat dan tidak melebihi had kenderaan.