fb fb fb fb fb

MOSTI berhasrat bangunkan 4 lagi RDC menjelang hujung tahun ini

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang/BERNAMA

IPOH, 11 Mei- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat untuk membangunkan empat lagi Ruang Daya Cipta (RDC) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ia bagi memperkasa aktiviti sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, setakat ini pihaknya telah membangunkan 16 RDC di seluruh negara yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang menggunakan kemudahan di pusat berkenaan.

"Kita memang berhasrat untuk menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030. Jadi kita harus ada tinjauan bakat yang memang betul-betul berminat yang boleh mengaplikasikan inovasi teknologi dalam kehidupan harian", katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan RDC di Tanjung Malim yang merupakan kedua di Perak.

Selain Perak, MOSTI telah membangunkan tiga RDC di Sabah, masing-masing dua buah di Pahang, Sarawak dan Johor. Manakala satu di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor.

RDC yang dibangunkan melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) merupakan sebuah program pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi dengan membangunkan prototaip produk inovasi di peringkat pra-pengkomersialan dan mereplikasi projek inovasi ke komuniti lain.

RDC juga menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, kraftangan, peralatan studio mini dan sudut inovasi yang boleh digunakan secara percuma kepada orang awam.

Program berkenaan dijangka dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersialan.

ROSLINA BINTI DIN