
SEPANG, 9 Jun – Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dan AirAsia Aviation Management Services Sdn Bhd yang dilanjutkan buat kali ketiga dijangka terus memperkukuh sokongan psikososial serta kesiapsiagaan negara dalam pengurusan krisis dan bencana.
- Perkhidmatan seperti Psychological First Aid, kaunseling krisis dan intervensi sokongan penting dalam pemulihan mangsa, keluarga dan petugas hadapan.
- Kaunselor berdaftar akan melaksanakan PFA, sokongan psikososial dan kaunseling untuk membantu mereka yang terkesan semasa kecemasan.
- Kementerian menambah inisiatif holistik termasuk pengukuhan kaunseling komuniti, peluasan akses sokongan dan kempen 'Awak OK Tak?' melalui Talian Kasih 15999.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, kerjasama yang bermula sejak 28 Januari 2016 itu membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa agenda kesejahteraan mental dan sokongan psikososial di negara ini.
“Justeru, penyediaan perkhidmatan seperti Psychological First Aid, kaunseling krisis serta intervensi sokongan kepada mangsa, keluarga dan petugas barisan hadapan merupakan aspek yang amat penting dalam proses pemulihan dan pengurusan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara LKM dan AirAsia Aviation Management Services Sdn Bhd di sini hari ini.
Melalui kerjasama tersebut, kaunselor berdaftar bawah LKM akan bersedia melaksanakan pelbagai bentuk intervensi termasuk Psychological First Aid (PFA), sokongan psikososial dan kaunseling bagi membantu individu yang terkesan dalam situasi kecemasan.
Impak sesuatu krisis bukan sahaja melibatkan aspek fizikal malah turut memberi kesan mendalam terhadap emosi, psikologi dan kesejahteraan mental individu yang terlibat.
Selain itu KPWKM terus komited memperkasa agenda kesihatan mental komuniti menerusi pelbagai inisiatif holistik termasuk pengukuhan perkhidmatan kaunseling komuniti, peluasan akses kepada sokongan psikososial dan program advokasi bagi meningkatkan literasi kesihatan mental masyarakat.
Kementerian itu turut melaksanakan kempen “Awak OK Tak?” bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kesejahteraan emosi dan sosial melalui perkhidmatan Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai komitmen AirAsia yang menyediakan sokongan logistik, latihan dan kerjasama operasi bagi memperkukuh keupayaan respons negara dalam situasi kecemasan.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai contoh terbaik sinergi antara kepakaran profesional dan keupayaan industri dalam menyampaikan manfaat lebih besar kepada masyarakat.