Usaha perkasa kompetensi, kemahiran pendidik KEMAS tetap jadi keutamaan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 9 Jun – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus meletakkan agenda memperkasa kompetensi dan kemahiran warga pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai keutamaan bagi memastikan institusi pendidikan awal itu kekal relevan serta berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasa kompetensi dan kemahiran pendidik KEMAS agar sentiasa bersedia mendepani cabaran serta perubahan landskap pendidikan.
  • Menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, pensijilan dan pengiktirafan profesional bagi meningkatkan keyakinan serta kebolehan pendidik.
  • Mempertingkatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi menyokong perkembangan holistik kanak-kanak prasekolah.
  • Menyediakan kemudahan prasarana lengkap untuk menyokong pelaksanaan tugas pendidik dengan lebih berkesan dan efisien.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan kompetensi tersebut amat kritikal bagi memastikan barisan pendidik sentiasa bersedia mendepani cabaran dan landskap perubahan pendidikan semasa.

“Saya mahu warga pendidik KEMAS sentiasa diberi ruang untuk meningkatkan kompetensi, memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan pendidikan semasa.

“Budaya pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, pensijilan serta pengiktirafan profesional perlu terus diperkasa agar warga pendidik KEMAS kekal relevan, yakin dan bersedia mendepani perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 disini.

Tambahnya, persekitaran pembelajaran yang kondusif juga perlu terus dipertingkatkan bagi menyokong proses pendidikan awal kanak-kanak.

Mengulas lanjut,beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata selain aspek pembangunan modal insan, penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyokong ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa golongan murid memerlukan suasana pembelajaran yang selesa serta berkualiti tinggi untuk merangsang perkembangan mereka.

Pada masa yang sama, beliau menambah bahawa golongan pendidik juga berhak untuk menerima kemudahan prasarana yang lengkap bagi menyokong pelaksanaan tugas hakiki mereka dengan lebih berkesan serta efisien.

KEMAS ketika ini mengendalikan lebih 11,113 Tadika dan Taska di seluruh negara dengan sokongan 12,166 tenaga pengajar, sekali gus menjadikannya antara jaringan pendidikan awal kanak-kanak terbesar yang dekat dengan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.