fb fb fb fb fb

Menteri-menteri Pertahanan ASEAN nyatakan komitmen realisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045

FOTO KEMENTERIAN PERTAHANAN

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Menteri - menteri Pertahanan ASEAN mengesahkan komitmen untuk merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 termasuk memastikan sumbangan sektor pertahanan dipertingkatkan demi keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.

Komitmen itu dinyatakan pada akhir Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Luang Prabang, Lao PDR yang berakhir semalam.

Sesi pemukiman tersebut disertai oleh 10 negara anggota ASEAN dipengerusikan oleh Jeneral Chansamone Chanyalath, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Lao PDR.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pada sesi pemukiman tersebut Malaysia yang diketuai Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan sokongan dan komitmen Malaysia terhadap Lao PDR selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Ministers’ Meeting, ADMM) pada tahun ini.

Pelbagai perkara telah dibincangkan semasa sesi pemukiman berkenaan termasuklah soal keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau dengan menjadikan prinsip dan nilai asas ASEAN iaitu 'centrality' dan 'unity' sebagai keutamaan.

Datuk Seri Mohamed Khaled juga membincangkan mengenai kemajuan ADMM dan strategi ADMM pasca-2025, dengan mengambil kira pencapaian pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN 2025.

"Beliau turut berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau yang dinamik dan menekankan kepentingan bagi Negara Anggota ASEAN untuk terus bersiap sedia dan sentiasa responsif terhadap cabaran keselamatan yang semakin berubah.

"Beliau turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Jeneral Chansamone Chanyalath, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Lao PDR. Kedua-dua menteri telah menyentuh mengenai pelbagai isu strategik yang berkepentingan kepada kedua- dua negara termasuk kepentingan untuk mengekalkan kepusatan dan perpaduan ASEAN.

"Turut dibincangkan pelbagai bentuk kerjasama yang boleh terus dilaksanakan antara kedua-dua buah negara dalam bidang pertahanan, khususnya dalam soal kawalan sempadan dan pertukaran pegawai melalui program pembangunan kapasiti,"jelas kenyataan tersebut.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut bertemu dengan Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri telah mengesahkan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam mengukuhkan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

"Beliau juga telah menganjurkan cadangan supaya dimeterai satu memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Thailand bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama khususnya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

"Melalui MoU tersebut, pelbagai usaha diterokai secara bersama termasuklah dalam bidang sains dan teknologi, perkongsian latihan dan kepakaran serta pembangunan industri pertahanan tempatan,"menurut kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE