fb fb fb fb fb

Melaka sasar 350 EVCB tahun depan

Foto RTM

BANDARAYA MELAKA, 19 Februari - Kerajaan Negeri Melaka menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PHTM) menyasarkan 350 Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) di seluruh negeri itu menjelang 2025.

Setakat ini, terdapat 118 petak dan 40 lokasi pengecas kenderaan elektrik di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan EVCB akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lebuh raya utama, parkir awam dan tempat-tempat tarikan pelancong.

Menurut Rauf, penyediaan kemudahan fasiliti berkenaan dapat menggalakkan serta menggamit lebih ramai pelancong bagi berkunjung ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

“Langkah awal apabila kerajaan negeri menjadikan kawasan tarikan pelancongan sebagai 'Car Free Zone' menunjukkan bahawa kita mengadaptasi konsep rendah karbon di negeri ini.

"Menerusi pertambahan tempat pengecasan kenderaan elektrik ini kita menggalakkan pelancong yang datang menggunakan kenderaaan 'Hybrid' ataupun elektrik boleh berkunjung di negeri Melaka dengan penyediaan kawasan pengecas yang akan berkembang di Melaka", kata Rauf demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran EV Power Charging Hub 2024 di sini.

Dalam pada itu, Rauf turut memaklumkan kerajaan negeri turut bercadang mewujudkan Zon Bebas Kenderaan untuk laluan kenderaan elektrik pada masa akan datang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD