SUNGAI UDANG, 11 Januari- Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka akan dijadikan acara tahunan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kejohanan yang julung kali dianjurkan itu merupakan salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara unit-unit beruniform di Melaka.
"Kita melihat, sekiranya sambutan begitu baik, kita akan mempertimbangkan untuk menjadikannya acara tahunan. Namun, bukan Kem Terendak yang akan menjadi tuan rumah kali ini. Kita akan pindah ke unit beruniform lain untuk menjadi tuan rumah.
"Kita melihat kepada kemudahan fasiliti yang ada, dan sekiranya mana-mana badan beruniform lain yang sanggup menjadi tuan rumah, kita akan memberikan kerjasama.
"Acara ini boleh dijadikan tahunan, ia bergantung kepada sambutan pada siri pertama ini," katanya ketika ditemui pada pelancaran Kejohanan berkenaan di Kem Terendak di sini.
Antara acara yang dipertandingkan termasuk bola sepak, bola jaring, badminton, golf, serta sukan tradisional seperti dam aji, tarik tali, konda kondi, dan lain-lain.
Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati akan berlangsung bermula 18 hingga 31 Januari manakala Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka pula diadakan bermula 1 Februari hingga 14 Februari.
Acara penutup pula pada 15 dan 16 Februari di Pantai Tanjung Bidara dengan pelbagai pengisian acara sukan diadakan.