fb fb fb fb fb

Melaka bakal bangunkan taman kebudayaan tersendiri

AYER KEROH, 17 Jun- Kerajaan negeri Melaka akan membangunkan satu taman kebudayaan yang akan mempamerkan kebudayaan dan kesenian semua kaum yang ada di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun pemilihan kawasan yang sesuai masih belum diputuskan.

Katanya, taman itu juga akan diperkenalkan sebagai satu lagi produk pelancongan Melaka bersempena dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

"Tidak sama seperti Mini Malaysia, ini merupakan seni kaum yang ada untuk dijadikan sebagai satu rujukan bahawa indeks kebahagiaan rakyat Melaka bukan sahaja daripada sudut ekonomi yang akan lebih baik tetapi sudut perpaduannya juga akan dilihat sebagai ukuran kepada kecemerlangan memajukan bangsa dalam Kerajaan Perpaduan ini,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Kebudayaan Cina 2023 di Ayer Keroh, Melaka.

Tambahnya, taman kebudayaan itu juga akan menjadi penanda aras keharmonian kaum di Melaka khususnya kepada semua pelancong pada tahun hadapan.

Mengulas mengenai Karnival Kebudayaan Cina 2023, beliau berharap karnival seperti itu akan diadakan pada setiap tahun bagi tujuan memberi ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak dan seluruh masyarakat Melaka.


(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)

Media Baharu