Mekanisme kawalan akses media sosial kanak-kanak bawah 16 diperkenal

Mekanisme kawalan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun diperkenal. /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April – Kerajaan akan meneruskan usaha memperkenal mekanisme kawalan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan sistem pengesahan umur melalui e-KYC bagi menentukan pemilikan akaun media sosial mengikut usia.
  • Kawalan akaun mesti diberi kepada ibu bapa atau penjaga untuk mengelakkan kanak-kanak bercakap dengan orang dewasa tidak dikenali.
  • Langkah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada ancaman jenayah siber termasuk pemangsa seksual kerana platform tidak menjamin keselamatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan langkah itu termasuk pelaksanaan sistem pengesahan umur atau Electronic Know Your Customer (e-KYC).

Pendekatan berkenaan bertujuan memastikan akaun media sosial bagi golongan bawah umur dikawal oleh ibu bapa atau penjaga.

“Niat utama untuk melaksanakan proses pengesahan umur melalui sistem e-KYC adalah untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak memiliki akaun media sosial mereka sendiri, kawalan yang boleh diberi kepada ibu bapa kita nak elak anak-anak kecil dari bercakap dengan orang dewasa yang tak dikenali.” katanya dalam sidang media mingguan dan taklimat harian di Angkasapuri.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman jenayah siber termasuk pemangsa seksual.

Tambahnya, platform media sosial ketika ini tidak mampu menjamin keselamatan sepenuhnya kepada pengguna bawah umur tanpa kawalan sewajarnya.