
AYER KEROH, 29 April – Melaka mengenal pasti lapan tapak warisan geologi dan 29 geotapak yang berpotensi dibangunkan sebagai produk geopelancongan baharu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.
- Inisiatif 'Aspiring Melaka Geopark' dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dan menyokong usaha pemuliharaan alam semula jadi.
- Projek kini dalam proses penilaian pengiktirafan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
- Tapak cadangan merangkumi batuan dan tapak laterit serta geotapak seperti Pulau Besar, Bukit Beruang dan Air Terjun Batang Melaka.
- Pembangunan mengintegrasikan flora, fauna, ekosistem dan budaya setempat untuk nilai tarikan pelancongan dan kelestarian jangka panjang.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif pembangunan ‘Aspiring Melaka Geopark’ itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat selain menyokong usaha pemuliharaan alam semula jadi.
Beliau berkata, projek yang merangkumi keluasan 1,713 kilometer persegi itu kini telah memasuki proses penilaian pengiktirafan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Antara lokasi yang kita cadangkan di daerah Melaka Tengah termasuklah batuan di Pulau Besar, Pulau Serimbun, Bukit Beruang, Pulau Upih, serta tapak laterit di Pulau Peringgit dan Bukit Larang.
“Bagi daerah Jasin pula, kita mempunyai kawasan seperti Air Terjun Batang Melaka. Ini adalah antara 29 geotapak yang kita kemukakan untuk dibangunkan,” katanya kepada media di sini.
Abdul Razak menjelaskan, pembangunan geopark tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada landskap geologi yang unik, malah mengintegrasikan elemen flora, fauna, ekosistem serta budaya setempat sebagai nilai tarikan utama.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan matlamat meningkatkan modal insan dalam bidang berasaskan warisan geologi, sekali gus memastikan kelestarian alam semula jadi negeri terus terpelihara.
Pembangunan ‘Aspiring Melaka Geopark’ itu dijangka menjadi pemangkin kepada kepelbagaian produk pelancongan negeri Melaka, yang selama ini sinonim dengan pelancongan sejarah dan warisan bandar.