
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 29 April – Kerajaan tidak menolak kemungkinan individu yang membuat hantaran menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial menggunakan akaun palsu.
- Siasatan dijalankan bersama MCMC, PDRM dan Meta, termasuk analisis forensik digital.
- Pemeriksaan bagi mengesahkan wujudnya akaun palsu atau 'agent provocateur' yang mencetuskan kemarahan umum.
- Laporan polis diterima; kes dibuka dan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana darjah keseriusan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara sudut yang sedang diteliti dalam siasatan berhubung isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Menurut beliau, siasatan kini dijalankan secara bersama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta platform Meta, termasuk melalui analisis forensik digital.
Katanya, penelitian itu dibuat bagi mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan susulan penafian individu yang dirakam percakapan sebelum ini.
“Antara perkara yang sedang dalam penelitian adalah sama ada wujud elemen akaun palsu atau fake account, atau elemen ‘agent provocateur’ yang sengaja mewujudkan akaun palsu untuk memuat naik kandungan, yang kemudiannya memangsakan pihak lain selain menimbulkan amarah umum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Angkasapuri, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, laporan polis sudah diterima berkaitan dengan insiden itu, kertas siasatan sudah dibukakan dan siasatan dijalankan.
Menurutnya, kes tersebut sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman ekoran darjah keseriusannya.