AGC tolak representasi Namewee kaji pertuduhan miliki dadah, ubat jenis sildenafil


KUALA LUMPUR, 29 April – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi penyanyi rap Namewee

KUALA LUMPUR, 29 April – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi penyanyi rap Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee bagi mengkaji dua pertuduhan memiliki dadah dan ubat jenis sildenafil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Namewee mengemukakan representasi supaya pertuduhan ditarik balik atau dipinda kepada kesalahan lebih ringan.
  • Didakwa memiliki methamphetamine 1.57g dan sildenafil 0.78g di sebuah bilik hotel pada 22 Oktober.
  • Pada 22 Disember, Mahkamah melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memberi dadah selepas keputusan patologi negatif.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal ketika prosiding di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Namewee mengemukakan representasi bagi memohon agar pertuduhan tersebut ditarik balik atau dipinda kepada kesalahan yang lebih ringan.

Mengikut pertuduhan, Namewee, 43, didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 1.57 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini pada 4.30 petang, 22 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memiliki bahan jenis sildenafil berat bersih 0.78 gram di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 22 Dis tahun lepas, Majistret S.Arunjothy melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memberikan dadah ke dalam badannya, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut. – BERNAMA